Sponser

Khamis, 12 Januari 2012

Pemantauan Awal Tahun Persekolahan 2012..Apa yang dijumpai !!!


Apabila tirai 2012 berlabuh dan sesi persekolahan bermula, maka bermulalah tahun baru dengan harapan perkara ditahun lepas tidak berulang dan diharap juga pada tahun ini segalanya bermula dengan baik.
Seperti biasa, pihak Pejabat Pelajaran Daerah akan memulakan tahun baru ini dengan memulakan sesi pemantauan awal tahun persekolahan disemua sekolah dalam Daerah. Maka bergeraklah para-para pegawai di PPD memantau sekolah. Kali ini tumpuan pemantauan dilakukan di sekolah-sekolah Pulau yang dikategorikan sebagai pedalaman 3 iaitu keadaan jarak sekolah yang jauh serta infasktuktur sekolah yang kurang.Sebanyak 5 buah sekolah berjaya dipantau dan hasil dapatan pemantauan disetiap sekolah adalah berbeza namun terdapat persamaan dari beberapa aspek pemantauan.

Rumusan yang telah didapati dari hasil pemantauan tersebut adalah seperti berikut.

Kehadiran Guru
Pada hari pertama persekolahan, kehadiran guru dibeberapa buah sekolah amatlah mengecewakan. Ada satu sekolah mencatatkan ketidakhadiran guru seramai 7 orang dari jumlah sebenar guru 12 orang. Ada juga sekolah mencatatkan kehadiran 100% dan ini menunjukkan komitmen guru tersebut terhadap sekolahnya. Namun secara puratanya, setiap sekolah akan menghadapi ketidakhadiran guru pada hari pertama sekolah dalam seorang atau 2 orang sahaja.


Kehadiran Murid
Kehadiran murid pula kurang memuaskan pada hari pertama sekolah. Ini kerana cuaca yang tidak menentu iaitu hujan yang turun yang tidak berhenti serta keadaan laut yang bergelora menyebabkan jumlah kehadiran murid pada awal perseolahan tidak memuaskan.

Persediaan buku rekod mengajar guru
Kebanyakan sekolah dikawasan pulau ini rata-rata tidak menyiapkan rancangan mengajar dihari pertama persekolahan kecuali dibeberapa buah sekolah. Alasan diberi ialah mereka lambat mendapat bekalan buku rekod mengajar. Namun jika diambil kira kepada situasi tersebut, sepatutnya rancangan mengajar perlulah dibuat dilembaran kertas lain dan apabila sudah diterima buku rekod mengajar tersebut, lembaran tersebut akan diselitkan dibuku rekod mengajar tersebut. Secara amnya, bila rancangan mengajar tidak dibuat, maka pengajaran dan pembelajaran pada hari pertama persekolahan tidak dilakukan.

Merekod jadual kedatangan murid
Ada sekolah tidak langsung merekod kedatangan murid dari hari pertama sekolah. Alasan diberikan juga sama iaitu belum dapat buku rekod jadual kedatangan murid. Apabila ditanya bagaimanakah hendak mengenalpasti murid yang tidak hadir dan adakah kehadiran murid tersebut dicatatkan dalam kertas lain untuk dibuat rekod? Jawapan yang diterima adalah tidak ada. Jadi bagaimana mahu tahu jumlah kehadiran murid pada hari tersebut.


Rekod jadual guru bertugas harian/mingguan.
Ini lagi satu fenomena luar biasa. Bila ditanya tentang perkara ini, boleh-boleh pihak pentadbir dan guru-guru memberitahu yang mereka tidak pernah membuat rekod jadual guru bertugas harian dan yang lebih mengecewakan bahawa buku tersebut tidak wujud disekolah mereka. Pelbagai alasan diberikan sehinggakan para-para pegawai di PPD hanya mengelengkan kepala kerana perkara ini sudah diberitahu dan ditunjuka ajar sebelum ini pada pemantauan di tahun 2011. Namun dilihat perkara tersebut tiada tindakan dan pihak sekolah tidak mengendakan segala teguran-teguran yang diberikan. Yang membuatkan ia bertambah pelik, bagaimana sekolah tersebut mahu mengurus perhimpunan dan juga mencatatkan jumlah keseluruhan kedatangan pada hari tersebut jika guru bertugas mingguan tidak wujud. Mungkin perhimpunan pun tidak dibuat. Menjadi persoalan ???...

Jadual Waktu Mengajar dan Takwin sekolah belum dikemaskini
Pada awal tahun biasanya perkara tersebut menjadi pekara pokok dalam perjalanan persekolahan tahun 2012, namun apa yang dilihat bahawa ada sekolah yang langsung belum bersedia menyiapkan pekara asas tersebut. Bila diminta alasan yang diberikan bahawa mereka terpaksa merombak kembali takwim serta jadual waktu ekoran terdapat guru yang berpindah. Tapi apabila diminta jadual waktu untuk tahun 2012 yang telah dibuat tahun lalu gagal pula ditunjukkan. Jadi bagaimana mahu mengajar kalau guru-guru tidak tahu jadual waktu yang mereka mahu ajar tahun ini. Ertinya guru-guru masuk ke kelas atau tidak masuk ke kelas ikut suka hati pihak pentadbir ataupun guru-guru cuma jaga kelas sahaja pada waktu tersebut.

 Rumusan akhir


Secara keseluruhan, apa yang dipantau menunjukkan sekolah-sekolah bahagian pulau ini masih lagi lemah dari segi pengurusan pentadbiran. Pendekatan serta kaedah yang digunakan disekolah-sekolah tersebut masih lagi menggunakan kaedah zaman awal 90an iaitu sekolah mula beroperasi apabila buka sahaja musim persekolahan. Persediaan awal langsung tidak dilakukan untuk menghadapi musim baru persekolahan. Sekurang-kurangnya setiap sekolah ini perlulah bersedia 2-3 ari lebih awal dan segala perancangan mesti dibuat lebih awal. Janganlah bila mula sahaja sekolah barulah persediaan persekolahan dibuat pada hari pertama sekolah. Disanalah baru mahu mesyuarat pembahagian jadual waktu, pembahagian buku teks, pendaftaran murid serta pelbagai lagi. Jika ini dilakukan bererti dalam tempoh seminggu persekolahan tersebut P&P tidak akan berlaku dan murid-murid akan ketinggalan. Diharap apa yang perlu diubah perlulah dilakukan segera. Jangan biar pekara ini berlaku setiap tahun tanpa ada perubahan. Fikirkanlah nasib anak-anak didik kita di pulau. Jangan lah biar mereka mewarisi hidup yang serba kemiskinan dan buta tanpa pelajaran. Sesuatu boleh berubah hanya dari diri kita sendiri yang mahu berubah.


0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Adverleds Sponser

Dikuasakan oleh Blogger.
 

Minda Pendidik Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger