Sponser

Selasa, 23 November 2010

Pemohonan ke Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan Mac 2011

Sukacita dimaklumkan bahawa Pemohonan ke Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan Mac 2011
bagi Pegawai Pendidikan Bukan Siswazah (PPPBS) yang sedang berkhidmat
di Bahagian/Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) / Pejabat Pelajaran Daerah
(PPD) / sekolah rendah / sekolah menen...gah / sekolah bantuan kerajaan di
bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia boleh dilakukan di laman
web KPM bermula 22 November 2010 sehingga 22 Disember 2010. Sila klik di sini.
Sumber dari KPM

Isnin, 22 November 2010

Dilema penempatan guru

Mindapendidik: Bila membaca artikel ini barulah dapat difahami prosedur penempatan guru. Kalau di ikut kepada bilangan guru, sesetengah negeri jumlah guru adalah mencukupi namun bila dilihat dari segi taburan penempatannya, kebanyakan guru lebih banyak berada dikawasan bandar dari kawasan pedalaman. Oleh itu sesuatu perlu dilakukan oleh kementerian untuk mengatasi masalah ini.

Dipetik dari Utusan Online..

Masalah penempatan guru memang rumit untuk diselesaikan. Ia menjadi bertambah sulit apabila terdapat segelintir daripada 400,000 guru yang masih dalam perkhidmatan memohon bertukar sekolah dengan alasan yang kurang wajar.

Rata-rata mahu mengajar di sekolah yang dekat dengan rumah. Lalu mereka cenderung menjadikan alasan rumah sedia ada atau rumah yang baru dibeli berhampiran sekolah sebagai sebab untuk bertukar tempat mengajar.

Sememangnya semua orang dalam apa jua profesion pun menginginkan jarak tempat tinggal yang berhampiran dengan tempat kerja. Jimat masa dan jimat kos.

Namun, kita juga perlu profesional kerana penempatan guru adalah berdasarkan keperluan perkhidmatan. Bukannya mengikut kesesuaian tempat tinggal.

Faktor ini penting demi meminimakan masalah kekurangan guru di kawasan luar bandar dan pedalaman tetapi terlebih guru di sekolah tertentu di kawasan bandar.

Misalnya, satu sekolah hanya memerlukan tiga guru Matematik tetapi terdapat lima guru di situ. Jika opsyen kedua semua guru ini berbeza, maka mereka boleh mengajar subjek yang lain. Tiada masalah.

Sebaliknya, masalah akan timbul jika ada pertindihan opsyen. Ia membabitkan guru terbabit, pengurusan sekolah dan Kementerian Pelajaran. Akhirnya pelajar menjadi mangsa keadaan, diajar oleh guru yang tidak terlatih dalam subjek berkenaan.

Justeru, bertukarlah dengan alasan yang konkrit seperti disebabkan isu keselamatan atau faktor kesihatan.

Contoh isu keselamatan ialah hal yang berbangkit akibat keganasan rumah tangga. Misalnya seorang guru wanita menerima ugutan dan ancaman daripada bekas suami. Bila ini berlaku memang wajar dan ada keperluan untuk beliau berpindah ke sekolah lain.

Manakala dalam masalah kesihatan pula mestilah yang melibatkan sakit kronik dan memerlukan rawatan rapi. Kemudahan perubatan mungkin hanya terdapat di hospital di kawasan bandar sahaja.

Bagaimanapun, ia terhad kepada guru itu sendiri dan ahli keluarga terdekatnya iaitu anak, suami atau isterinya sahaja.

Ibu bapa tidak termasuk dalam kategori ini. Rasionalnya, tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur perlu dipikul bersama dan bukannya diletakkan kepada guru berkenaan sahaja.

Selain itu, alasan mengikut suami perlu diberi keutamaan agar tumpuan guru terbabit tidak terjejas. Ia juga bagi memastikan guru itu dapat memberikan prestasi yang tinggi dan terbaik untuk para pelajarnya.

Jelas di sini, Kementerian Pelajaran menitikberatkan tahap kemanusiaan yang tinggi dalam penempatan para guru supaya kebajikan mereka terbela.

Hal ini secara tidak langsung akan memotivasikan guru untuk komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, pertukaran guru juga dilakukan secara pentadbiran. Sebagai contoh, jika Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mendapati ada lebihan seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah A dan sekolah B memerlukannya. Maka guru tersebut akan dipindahkan ke sekolah B walaupun beliau tidak membuat sebarang permohonan pertukaran tempat mengajar.

Bagi guru yang memohon pertukaran secara atas talian, keputusan telah pun diumumkan. Kepada yang berjaya, selamat mencurah bakti di sekolah yang baru. Kepada yang kurang bernasib baik, bersabar dan jika perlu, buatlah rayuan.

Bila membuat rayuan pastikan mengikut etika dan tatacara urusan rasmi. Jangan dibawa bayi atau anak kecil ke pejabat. Apatah lagi ibu atau bapa yang uzur. Ia boleh mengganggu ketenteraman dan menjejaskan urusan pihak lain. Malah ia mungkin menjejaskan tugasan lain pegawai terbabit.

Memadai dengan menyediakan dokumen sokongan untuk rujukan pihak yang berkenaan. Bukti itu sudah mencukupi tanpa perlu ditambah dengan elemen emosi dan simpati.

Ahad, 14 November 2010

Pelajar cemerlang miskin diutama masuk SBP 2011

Menurut laporan akbar Berita Harian, Tempat untuk pelajar yang cemerlang UPSR tahun ini yang ingin masuk ke sekolah berasrama penuh tahun depan akan ditentukan dengan hanya pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah akan dipilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan berdasarkan kriteria yang saksama dan merit pencapaian pelajar sejajar matlamat asal penubuhan sekolah itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, ketika kerajaan mewujudkan SBP dulu, ia bertujuan memberikan peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah belajar di tempat selesa tanpa mengeluarkan belanja besar.

Oleh yang demikian, tempat untuk pelajar dari pedalaman yang cemerlang dalam UPSR tahun ini akan mempunyai tempat dalam SBP. Namun jika penempatan ke sek SBP tersebut akan diukur lagi dengan merit pencapaian pelajar tersebut, mungkin pelajar-pelajar kita dipedalaman mungkin agak sukar untuk ditempatkan ke sek SBP. Tapi kalau dikira dari segi keluarga miskin, besar kemungkinan pelajar kita yang cemerlang dari pedalaman akan berjaya masuk ke sek SBP. Kita lihat lah nanti.

Jumaat, 12 November 2010

Subjek baru diperkenal

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/11/12

Dunia Sains dan Teknologi dedah murid kemahiran ICT

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran baru, Dunia Sains dan Teknologi akan diperkenalkan bagi murid Tahun Satu mulai tahun depan untuk menggantikan subjek Sains di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Selain itu, mereka juga akan mempelajari asas sains hayat, sains fizikal dan sains bahan yang diberi penilaian berasaskan sekolah melalui kaedah pemerhatian secara berterusan serta pelbagai pendekatan meliputi secara bertulis dan projek ditentukan guru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru yang terbabit dalam subjek baru itu sudah mula menjalani kursus peringkat daerah.

Mengikut sukatan pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, murid Tahun Satu akan didedahkan kepada penguasaan ICT bagi enam minggu pertama yang memfokus kepada kemahiran menggunakan aplikasi dan program komputer.

“Pada dua minggu pertama, murid akan mempelajari Microsoft Word, diikuti Microsoft Power Point pada minggu ketiga dan keempat, manakala minggu kelima dan keenam pula didedahkan kepada Painting.
“Bagaimanapun, penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid Tahun Satu sebagai menyuntik nilai tambah dari segi kreativiti dan inovasi.

“Selepas pendedahan enam minggu, murid akan mengasah dan memantapkan kemahiran dikuasai itu secara berterusan dan menggunakannya merentasi kurikulum untuk membantu keberkesanan pembelajaran mata pelajaran lain,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dari segi pengisian kurikulum Sains pula, Mohamed Sabri berkata, sains hayat akan mendedahkan murid Tahun Satu kepada pembelajaran objek hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, manakala sains fizikal berkaitan semua jenis deria, dan sains bahan pula membabitkan teknologi serta kehidupan lestari yang merangkumi cipta bahan dan reka bentuk.

“Pengajaran subjek Dunia Sains dan Teknologi untuk murid Tahun Satu ini membabitkan dua waktu seminggu di mana mereka akan banyak terdedah kepada proses pembelajaran menyeronokkan menerusi kaedah inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik,” katanya.

Bagaimanapun bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, Mohamed Sabri berkata, Kementerian Pelajaran perlu bertindak proaktif melengkapi semua sekolah rendah dengan kemudahan makmal komputer atau sekurang-kurang peralatan komputer di setiap kelas Tahun Satu menjelang sesi persekolahan tahun depan.

“Masih ada sekolah rendah yang tidak memiliki kemudahan makmal komputer atau peralatan itu di bilik darjah. Sekiranya tidak ditangani segera, dikhuatiri akan menjejaskan matlamat pelaksanaan KSSR,” katanya.

sumber Berita Harian

BERITA PENUH : 48,327 calon UPSR dapat semua A

PUTRAJAYA 11 Nov. - Seramai 48,327 daripada 482,334 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendapat keputusan cemerlang atau semua A iaitu keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, pencapaian keseluruhan peperiksaan itu didapati meningkat kepada 10.2 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, peratusan yang berada di bawah tahap pencapaian minimum iaitu semua Gred D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini.

''Peratusan calon yang mendapat minimum Gred C didapati menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.

Abd. Ghafar berkata, pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.

"Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar.

''Pencapaian calon di bawah tahap penguasaan minimum di luar bandar juga menurun menandakan pencapaian mereka semakin baik," katanya.

Abd. Ghafar berkata, bilangan calon istimewa pada tahun ini bertambah sebanyak 184 orang dan pencapaian baik mereka meningkat sebanyak 1.97 peratus manakala GPN bagi pencapaian keseluruhan meningkat sebanyak 0.02 peratus.

Menurut Abd. Ghafar, bagi prestasi mengikut pelajaran pula diukur mengikut Gred Purata Mata pelajaran (GPMP) dan analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu dibuat secara berasingan memandangkan bilangan waktu pembelajaran berbeza dan kertas soalan disediakan tidak setara.

Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK, terdapat peningkatan pada Gred A iaitu 4.5 peratus namun bagi Bahasa Melayu Penulisan bagi Gred A menurun sebanyak 8.9 peratus.

''Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK secara keseluruhannya meningkat dengan mencatatkan nilai GPMP sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini berbanding 2.79 peratus pada tahun lalu.

''Di SJK pula, prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan bagi Gred A menurun masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 3.4 peratus, bagaimanapun bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris meningkat 2.69 peratus berbanding 2.8 peratus tahun lalu.

''Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, peratusan calon mendapat Gred A meningkat iaitu masing-masing 1.9 peratus dan 1.7 peratus daripada tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, tahun ini merupakan tahun kedua Ujian Aptitud diduduki semua pelajar Tahun Enam sebagai memberi gambaran tentang kebolehan dan kesediaan mental sebelum memasuki sekolah menengah.

Katanya, keputusan ujian itu yang dilaksanakan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan turut diambil kira sebagai salah satu syarat pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

''Daripada keputusan ujian ini, kecenderungan pelajar kepada bidang sosial dan budaya dan sukan menunjukkan peningkatan mendadak sebaliknya bidang akademik, teknik dan vokasional serta seni menunjukkan penurunan ketara pada tahun ini.

''Bagaimanapun, kecenderungan ini mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ujian tersebut telah berjaya mengumpul maklumat tentang minat, potensi, kecenderungan pelajar pada akhir tahun persekolahan dan harus digunakan di peringkat nasional untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan berkualiti pada masa depan.

Khamis, 11 November 2010

TAHNIAH !!! UPSR 2010

Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dalam UPSR yang diumumkan siang tadi. Tahniah juga kepada sekolah-sekolah yang berjaya meningkatkan peratus UPSR sekolahnya. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, Seramai 48,327 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Ini bermakna semakin tahun semakin meningkat tahap penguasaan pelajar kita dalam bidang pelajaran. Namun apa keputusan di sekolah-sekolah pedalaman. Meningkat atau menurun. Kita lihat nanti apa berita dari sekolah-sekolah pedalaman.

Utusan Malaysia Online - Terkini

Rabu, 10 November 2010

Profesion keguruan ke tahap lebih tinggi

PUTRAJAYA 9 Nov. - Ketua Pengarah Pelajaran yang baru, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berazam menambah baik skim perkhidmatan pendidikan dan mengangkat profesion keguruan ke tahap lebih tinggi dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata, dengan memartabatkan profesion itu maka ia akan memperkemaskan lagi sistem penyampaian dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini secara menyeluruh.

''Saya menyeru semua warga guru di Malaysia supaya meneruskan usaha bakti mendidik anak bangsa dengan memastikan setiap murid dapat menerima pendidikan berkualiti dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.

''Guru mulai sekarang semestinya berusaha dengan gigih untuk meningkatkan pengetahuan dan kualiti pengajaran mereka. Diharapkan sumbangan mereka dapat melahirkan warganegara yang kreatif dan inovatif ke arah Wawasan 2020," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Abdul Ghafar, 56, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang bersara wajib.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat; Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum serta Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran.

Abdul Ghafar berkata, Alimuddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang merupakan mentor untuk meneruskan agenda transformasi pendidikan.

''Saya akan memberi komitmen yang tinggi dalam meningkatkan imej pendidikan negara selaras dengan Model Baru Ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepercayaan yang diberikan.

''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayaan untuk menjalankan tugas ini.

''Sesungguhnya pelantikan ini merupakan amanah yang besar dan saya sangat menghargainya," katanya.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Isnin, 8 November 2010

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAR 2011

Sabtu, 6 November 2010

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN UPSR 11 NOV INI

Keputusan rasmi peperiksaan UPSR 2010 akan diumumkan pada 11 Nov ini. Kepada semua pelajar dan guru yang menunggu keputusan tersebut, bolehlah mengambil keputusan tersebut di sekolah ataupun di PPD masing-masing.

mindapendidik : Bedebar menanti keputusan UPSR tahun ini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Adverleds Sponser

Dikuasakan oleh Blogger.
 

Minda Pendidik Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger