Sponser

Rabu, 17 Disember 2008

Terkini tentang Matapelajaran Sejarah

'Ajar Sejarah secara penceritaan'

Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my

Tokoh pendidikan cadang dijadikan subjek teras peringkat sekolah rendah

KUALA LUMPUR: Tokoh pendidikan negara, Tan Sri Abdul Rahman Arshad menyarankan subjek Sejarah dijadikan teras pada peringkat sekolah rendah dan diajar secara penceritaan dalam transformasi pendidikan yang bakal dimulakan pada 2010.

Beliau berkata, bentuk pembelajaran cara lama dengan menghafal nama, tarikh dan kejadian tidak berkesan lagi dalam membentuk sahsiah pelajar terhadap kecintaan kepada tanah air.


“Akibat bentuk pembelajaran yang tidak menarik, lahirlah pelajar yang jahil terhadap sejarah bangsa dan negara sehingga menjadikan semangat perpaduan antara kaum semakin rapuh,” katanya di sini, semalam.


Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu mengulas cadangan Kementerian Pelajaran melakukan transformasi pendidikan sekolah rendah mulai 2010 dengan mengambil kira pendedahan pelbagai aspek sejarah negara, selaras usaha memupuk dan memperkukuh integrasi nasional di kalangan generasi muda.

Subjek Sejarah pernah diajar di sekolah rendah dan dikenali sebagai Tawarikh sebelum kerajaan memansuhkannya pada peringkat sekolah rendah dan hanya diajar di sekolah menengah

sehingga hari ini.Abdul Rahman berkata, bentuk pembelajaran di sekolah rendah perlu berbeza daripada sekolah menengah kerana ia membabitkan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun.

Katanya, melalui umur sedemikian, kaedah menghafal perlu ditukar kepada penceritaan supaya ia menjadi lebih menarik dan senang diingati.

“Mata pelajaran Sejarah perlu dijadikan menarik. Bagi mencapai maksud itu, Kementerian Pelajaran perlu menyediakan guru sesuai bagi mengajar mata pelajaran ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu berbangga sejarah tanah air khususnya keagungan Kesultanan Melayu Melaka yang memerintah sebahagian daripada Tanah Melayu dan Sumatera.

Sementara itu, panel penilai sejarah buku teks Tingkatan Satu, Muslimin Fadzil yang bersetuju dengan pandangan Abdul Rahman, berkata, panel pernah mencadangkan kepada kementerian supaya sejarah diajar dalam bentuk ilustrasi.

“Kami mencadangkan komik dan gambar digunakan seperti di setengah negara. Ia bertujuan menjadikan subjek sejarah sebagai sesuatu yang menyeronokkan serta tidak membebankan.

“Bahan sokongan lain subjek ini boleh digunakan seperti CD interaktif yang mengandungi fakta sejarah serta menjadikan lakonan sebagai satu gaya pembelajaran,” katanya yang juga penulis buku teks tingkatan tiga dan lima.

Muslimin berkata, kekurangan guru opsyen sejarah adalah masalah utama dalam pembelajaran subjek itu dan perlu diatasi segera bagi memastikan matlamat itu tercapai.

#Dipetik dari Bharian Online

7 pilihan ajar Sains, Matematik

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my


TIMBALAN Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (kanan), mempengerusikan Mesyuarat Terbuka Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris di PICC, Putra Jaya, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom. - Foto Izhari Ariffin

Pakar rumus masa depan pelaksanaan PPSMI

PUTRAJAYA: Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang berakhir di sini semalam, merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

Pilihan itu ialah:

  • Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.

  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.

  • Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.

  • Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.

  • Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan

  • Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

    Pilihan itu dirumuskan selepas lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI diadakan, yang disertai tokoh akademik, penyelidik, parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Pakar dari Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria, Australia (VCAA), William Perrin, turut menyertai persidangan semalam.

    Ia diadakan bagi meneliti serta membahaskan semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan PPSMI yang mencetuskan kontroversi berikutan desakan sesetengah supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaannya.

    PPSMI yang bermatlamat meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam bahasa Inggeris dimulakan dengan projek perintis lima tahun pada 2003.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, pada sidang media selepas mempengerusikan persidangan itu, berkata laporan rumusan berkenaan akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, secepat mungkin sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri.

    “Hishammuddin sedang melakukan lawatan kerja ke luar negara dan dijangka balik dalam masa beberapa hari ini untuk meneliti opsyen yang ada.

    “Saya ingin tegaskan bahawa persidangan meja bulat atau keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 tidak menentukan keputusan mengenai PPSMI, tetapi ia akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk keputusan muktamad,” katanya.

    Mengenai persiapan untuk pengajaran Sains dan Matematik bagi sesi persekolahan akan datang, Wee berkata, dasar PPSMI tidak akan diubah sehingga pengumuman dibuat di peringkat Jemaah Menteri.

    “Jika tidak ada pengumuman, maka secara konvensinya tiada perubahan akan berlaku (pada sesi persekolahan akan datang). Sehingga ada pengumuman, apa yang perlu diubah akan disusuli dengan tindakan sewajarnya,” katanya.

    Beliau juga berkata keputusan mengenai PPSMI tidak akan dijalankan atas kepentingan politik, tetapi dibuat secara profesional.

    “Datuk Seri Hishammuddin sendiri mengecualikan diri daripada persidangan meja bulat siri pertama hingga kelima supaya beliau pada peringkat akhir dapat menerima pandangan semua pihak.

    “Jadi saya tidak mahu ada yang sangka bahawa kerajaan membuat keputusan mengenai PPSMI tanpa menerima pandangan pelbagai pihak,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang turut menyertai persidangan itu, berkata perkara penting yang diambil kira dalam merumuskan pelaksanaan PPSMI adalah untuk memastikan pelajar dapat memahami dan menguasai dengan mudah kedua-dua mata pelajaran terbabit.

    "Ini penting supaya pelajar dapat memahami sepenuhnya konsep pembelajaran Sains dan Matematik, sekali gus meningkatkan kebolehan mereka berfikir dengan lebih kreatif dan inovatif.

    "Penggunaan bahasa Melayu sudah terbukti mampu melahirkan ramai golongan profesional dan saintis sebelum diperkenalkan PPSMI. Di negara maju, contohnya Jepun, Perancis dan Korea, mereka tetap boleh membangun walaupun menggunakan bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Berita Harian.

    Beliau berkata, pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris pula boleh terus dipertingkatkan menerusi pendekatan lain, seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain memantapkan penguasaan bahasa itu oleh tenaga pengajar.

  • Selasa, 16 Disember 2008

    RENCANA

    Melihat PPSMI dari sudut undang-undang

    SEJAK beberapa tahun yang lepas banyak perdebatan dan perbincangan berlangsung tentang bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

    Di peringkat permulaannya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar, kemudian kerajaan membuat keputusan untuk menukarkannya ke bahasa Inggeris.

    Sekarang pihak kerajaan sedang mengkaji semula perkara ini dan banyak perbahasan telah dan sedang berjalan. Adalah elok bagi kita memfokuskan perkara ini dari sudut undang-undang sebelum pihak kerajaan membuat apa- apa keputusan.

    Kegunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains pada pendapat saya adalah tidak sah di sisi undang-undang.

    Ia adalah tidak sah kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:

    Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

    Dengan syarat bahawa:

    - (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

    Perkara 152(6) pula menyebut dengan perkara ini "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

    Perkara-perkara berhubung dengan sistem pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kerajaan melalui kementerian pendidikan adalah bagi 'maksud rasmi' seperti dinyatakan oleh Artikel 152 (6) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 152 hendaklah dipatuhi oleh kerajaan.

    Mengikut sistem pendidikan kebangsaan, bahasa kebangsaan adalah ditetapkan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan sebagaimana ternyata oleh seksyen 17 (1) Akta 550 yang berbunyi seperti berikut:

    ''Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada sub seksyen ini".

    Peruntukan seksyen 17(1) Akta 550 adalah sebagai mematuhi kehendak Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

    Mengikut seksyen 18(2) Akta 550, kurikulum kebangsaan adalah ditetapkan oleh Menteri Pendidikan dan beliau sudah pun menetapkan mata pelajaran teras yang menjadi asas utama pendidikan murid di semua sekolah. Sebagaimana ditetapkan, mata pelajaran teras pada peringkat sekolah rendah yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains, Kajian Tempatan dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid bukan Islam.

    Pada peringkat sekolah menengah, mata pelajaran teras yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid yang tidak beragama Islam.

    Berasas kepada kehendak Artikel 152(1),(6) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 17(1) Akta 550, adalah wajib bagi kesemua mata pelajaran teras yang tersebut diajar di semua sekolah menggunakan bahasa pengantar utama iaitu bahasa Melayu. Tetapi sebagaimana kita tahu sekarang mata pelajaran Matematik dan Sains adalah diajar dalam bahasa Inggeris.

    Adalah jelas bahawa sudah ada pelanggaran undang-undang iaitu apabila seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi.

    Mungkin ada pihak yang menghujah bahawa mata pelajaran teras yang disenaraikan dalam Jadual mengikut seksyen 18 Akta 550 itu bukanlah mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu) pada keseluruhannya.

    Pada mereka sebahagian besar daripada mata pelajaran teras sudah mencukupi, untuk mematuhi syarat, tetapi itupun sudah ada pelanggaran seksyen 17 (1) Akta 550 juga.

    Ini kerana bagi kurikulum sekolah rendah, mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar ialah dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris dan dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Melayu.

    Maknanya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris manakala kajian tempatan dan pendidikan Islam dalam bahasa Melayu.

    Ini adalah nyata bahawa tidak sebahagian besar dari mata pelajaran teras diajar dalam bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu). Bagi sekolah menengah pula, dua mata pelajaran iaitu Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, dan satu mata pelajaran sahaja iaitu pendidikan Islam dalam bahasa Melayu. Ini adalah lebih jelas bahawa seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi dan adalah salah di sisi undang-undang.

    Kesimpulannya kegunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains adalah tidak sah di sisi undang-undang dan perkara itu mesti diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perbincangan meja bulat PPSMI hari ini.

    #Petikan Rencana dari Utusan Melayu Online 16 Disember 2008 / 18 Zulhijjah 1429

    ritzkhanzazd>(Fifir-fikirkanlah)

    Download Lagu KBSR

    Di Sini terdapat beberapa lagu-lagu KBSR yang saya ciptakan gubahan muziknya untuk kegunaan semasa saya manjalankan aktiviti P&P di kelas. Diharap lagu-lagu ini dapat membantu rakan-rakan pendidik menjalankan aktiviti P&P.
    1. Hujan Nak Turun
    2. Burung Kakak Tua
    3. Bapaku Pulang
    4. Ha Ha Ho Ho
    5. Jala Jala Ikan
    6. Kami Anak Malaysia
    7. Kapal Angkasaku
    8. Ikut Guru
    9. Ayam Didik
    10. Saya Suka Hati
    11. Ingin Jadi Seperti Burung
    12. Naik Keretapi
    13. Tarian Inang
    14. Telefon Berbunyi
    15. Makan Roti
    16. Air Terjun
    17. Ayam dan Musang
    18. Burung dan Suasana
    19. Anak Itik Tok Wi
    20. Pengakap Muda
    Lagu-lagu ini saya sediakan dalam bentuk MIDI. Ia akan berfungsi sebagai minus one bagi lagu yang dimainkan. Jika rakan-rakan ingin berkongsi MIDI lagu tersebut, Bolehlah DOWNLOAD sekarang .Banyak lagi koleksi MIDI KBSR yang ada dalam simpanan saya. Tunggu kemunculannya.

    Isnin, 15 Disember 2008

    Salam perkenalan

    Apa kabar semua pembaca blog.Tujuan saya mencipta blog ini untuk memberikan infomasi, bantuan, berita dan sebagainya terhadap dunia pendidikan khususnya di Malaysia. Segala maklumat yang disampaikan ini amatlah diharapkan berguna untuk semua golongan pendidik.Segala komen, cadangan dan juga perkongsian bahan-bahan yang berguna adalah di alu-alukan.Hubungilah saya di alamat email ini ritzkhanzazd@gmail.com untuk bertukar-tukar pandangan dan juga berkongsi ilmu di alam pendidikan.
    Selamat Melayari blog ini.Jadilah seorang pendidik yang berguna pada semua anak didik kita..
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Adverleds Sponser

    Dikuasakan oleh Blogger.
     

    Minda Pendidik Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger