Sponser

Sabtu, 26 Februari 2011

TAHNIAH !! Sekolah Pertama Pedalaman yang mendapat status Sekolah Berprestasi Tinggi

Agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Mungkin agak terlambat juga saya menulis tentang Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk tahun 2011 ini. Ini kerana capaian internet di tempat bertugas yang tidak ada kerana berada jauh di pedalaman namun itu tidak menyebabkan info tentang SBT ini tidak diketahui langsung, cuma agak lambat dan perlahan sedikit dari di bandar.

Terlebih dahulu, TAHNIAH diucapkan kepada sekolah pertama dari pedalaman iaitu SK ULU LUBAI dari Limbang, Sarawak kerana menjadi sekolah SBT untuk tahun 2011. Sekolah ini adalah sebuah sekolah dipedalaman Sarawak yang mempunyai murid yang tidak pun sampai 100 orang dan jumlah tenaga pengajar yang sedikit. Namun itu tidak mematahkan semangat warga endidik di sekolah pedalaman tersebut menaburkan bakti dan menaikkan status sekolah tersebut sehingga mendapat status sekolah SBT. TAHNIAH! TAHNIAH! di ucapkan. Terasa bangga dan kagum terasa kerana tidak disangka sekolah dari pedalaman boleh mendapat status SBT tersebut.

SK Ulu Lubai membuktikan berada di luar bandar bukan halangan mencapai kejayaan. Walaupun keadaan sekolah yang sederhana dan bangunan kayu, sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik amat cemerlang apabila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga kini dan sentiasa menjadi sekolah terbaik di Sarawak. SK Ulu Lubai menduduki tempat ke-54 pada 2009 dan melonjak naik ke tempat pertama pada 2010,SK Ulu Lubai juga memenangi dua anugerah pada peringkat antarabangsa iaitu johan anugerah Commonwealth Education Good Practice Awards 2009; finalis Commonwealth Education Good Practice Awards 2009 yang dianugerahkan Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia, serta terkini ialah pencalonan UNESCO Education of International Best Practices 2010.Sekolah ini juga merangkul lima anugerah di peringkat kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah. Di samping itu SK Ulu Lubai juga aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan dengan institusi luar negara pada 2009 dan 2010 membabitkan Universiti Bristol United Kingdom (UK); Jin Shan Primary School Singapore; Kingsford Community School UK dan Deptford Green School UK. Kejayaan yang dicapai oleh sekolah ini bukan boleh dicapai dengan sekelip mata. Tanpa pengurusan yang baik dan kerjasama dari semua warga sekolah, kejayaan ini mungkin tidak dicapai.

Kadang kala saya berfikir, kenapa sekolah-sekolah pedalaman yang lain tidak boleh jadi maju atau menjadi salah satu sekolah yang boleh dibanggakan. Apa silap dan dimana kejituan warga sekolah itu memajukan sekolah pedalaman. Kalau di lihat secara kasar, rata-rata sekolah di pedalaman agak daif, kemudahan kurang, guru ada kalanya tidak mencukupi dan pengurusan sekolah yang ada darinya bercelaru namun adakah itu salah satu penyebab sekolah di pedalaman tidak maju. Warga pendidik di pedalaman haruslah menyahut cabaran dan menjadikan Sk Ulu Lubai sebagai panduan. Tidak mustahil jika sekolah pedalaman menjadi seperti Sk Ulu Lubai. Apa yang penting sistem pengurusan mestilah bergerak dan merubah sekolah menjadi lebih terbaik dari segenap sudut.

23 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) telah diumumkan oleh Kementerian Pelajaran bagi tahun 2011 berbanding 20 pada tahun lepas. Ini membabitkan 2 sekolah menengah harian, 11 sekolah berasrama penuh, 8 sekolah kebangsaan dan 2 sekolah jenis kebangsaan.Senarai SBT 2011 ini dimaklumkan kepada umum oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Limbang yang merupakan sekolah pedalaman pertama mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi.

SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa.

Senarai Sekolah Berprestasi Tinggi 2011Sekolah

Menengah Harian
1. Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu
2. Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor

Sekolah Berasrama Penuh
1. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak
2. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor
3. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah
4. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang
5. Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur
6. Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan
7. Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak
8. Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur
9. Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur
10. Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang
11. Sekolah Menengah Sains Muar, Johor

Sekolah Kebangsaan
1. Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak
2. SK Convent Muar, Johor
3. SK Seri Biram, Pahang
4. SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah
5. SK Setiawangsa, Kuala Lumpur
6. SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang
7. SK Sultan Ismail, Terengganu
8. SK Jalan Tiga, Selangor

Sekolah Jenis Kebangsaan
1. Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Perempuan China, Pulau Pinang
2. SJK(C) Lick Hung, Selangor

TAHNIAH juga diucapkan kepada beberapa sekolah lain yang mendapat status SBT ini. Semoga tahun ini akan muncul lebih banyak sekolah SBT. Di harap juga dalam banyak-banyak sekolah yang diumumkan kelak akan muncullah beberapa nama sekolah dari pedalaman yang menjadi sekolah SBT terbaru. Bangga dan kagum akan dirasa jika ianya menjadi kenyataan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Adverleds Sponser

Dikuasakan oleh Blogger.
 

Minda Pendidik Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger