Sponser

Rabu, 17 Disember 2008

Terkini tentang Matapelajaran Sejarah

'Ajar Sejarah secara penceritaan'

Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my

Tokoh pendidikan cadang dijadikan subjek teras peringkat sekolah rendah

KUALA LUMPUR: Tokoh pendidikan negara, Tan Sri Abdul Rahman Arshad menyarankan subjek Sejarah dijadikan teras pada peringkat sekolah rendah dan diajar secara penceritaan dalam transformasi pendidikan yang bakal dimulakan pada 2010.

Beliau berkata, bentuk pembelajaran cara lama dengan menghafal nama, tarikh dan kejadian tidak berkesan lagi dalam membentuk sahsiah pelajar terhadap kecintaan kepada tanah air.


“Akibat bentuk pembelajaran yang tidak menarik, lahirlah pelajar yang jahil terhadap sejarah bangsa dan negara sehingga menjadikan semangat perpaduan antara kaum semakin rapuh,” katanya di sini, semalam.


Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu mengulas cadangan Kementerian Pelajaran melakukan transformasi pendidikan sekolah rendah mulai 2010 dengan mengambil kira pendedahan pelbagai aspek sejarah negara, selaras usaha memupuk dan memperkukuh integrasi nasional di kalangan generasi muda.

Subjek Sejarah pernah diajar di sekolah rendah dan dikenali sebagai Tawarikh sebelum kerajaan memansuhkannya pada peringkat sekolah rendah dan hanya diajar di sekolah menengah

sehingga hari ini.Abdul Rahman berkata, bentuk pembelajaran di sekolah rendah perlu berbeza daripada sekolah menengah kerana ia membabitkan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun.

Katanya, melalui umur sedemikian, kaedah menghafal perlu ditukar kepada penceritaan supaya ia menjadi lebih menarik dan senang diingati.

“Mata pelajaran Sejarah perlu dijadikan menarik. Bagi mencapai maksud itu, Kementerian Pelajaran perlu menyediakan guru sesuai bagi mengajar mata pelajaran ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu berbangga sejarah tanah air khususnya keagungan Kesultanan Melayu Melaka yang memerintah sebahagian daripada Tanah Melayu dan Sumatera.

Sementara itu, panel penilai sejarah buku teks Tingkatan Satu, Muslimin Fadzil yang bersetuju dengan pandangan Abdul Rahman, berkata, panel pernah mencadangkan kepada kementerian supaya sejarah diajar dalam bentuk ilustrasi.

“Kami mencadangkan komik dan gambar digunakan seperti di setengah negara. Ia bertujuan menjadikan subjek sejarah sebagai sesuatu yang menyeronokkan serta tidak membebankan.

“Bahan sokongan lain subjek ini boleh digunakan seperti CD interaktif yang mengandungi fakta sejarah serta menjadikan lakonan sebagai satu gaya pembelajaran,” katanya yang juga penulis buku teks tingkatan tiga dan lima.

Muslimin berkata, kekurangan guru opsyen sejarah adalah masalah utama dalam pembelajaran subjek itu dan perlu diatasi segera bagi memastikan matlamat itu tercapai.

#Dipetik dari Bharian Online

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Adverleds Sponser

Dikuasakan oleh Blogger.
 

Minda Pendidik Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger